Ramai Penonton Suka Tengok OTAI

Celoteh: Ramai penonton suka tengok Otai
Bintang Popular 21Okt2007
Oleh Akmal Abdullah

Otai

Siapa sangka filem raya, Otai yang tengah rancak ditayangkan kini sudah cecah kutipan kasar lebih RM1.5 juta dalam tempoh seminggu menemui penonton sejak hari raya pertama pada Sabtu minggu lalu. Ramai yang tidak menduga filem komedi yang masih menggunakan Saiful Apek sebagai taruhan utama tetap mampu boleh memikat ramai penonton. Meskipun ramai sudah tahu dengan gaya, keletah dan cara lawak bodoh Apek tetapi penonton masih dapat menerima filem lakonannya. Semuanya juga kerana sentuhan Prof Madya Razak Mohaideen yang masih menyengat dari segi filem untuk ‘buat duit’. Razak masih mampu membawa suasana segar filem komedi yang boleh mengajak orang ramai berpusu-pusu ke pawagam pada musim cuti perayaan.

Apa yang membanggakan, inilah filem Melayu pertama yang meraih kutipan hebat dalam tempoh tiga hari tayangan, ia sudah mampu memungut RM1 juta. Ini sesuatu yang sudah lama tidak dirasai oleh filem tempatan. Tidak mustahil selesai tayangannya kelak, filem ini mampu meraih kutipan lebih RM3 juta.Otai adalah judul yang cathchy dan senang disebut. Filem ini juga selain ceritanya ringan dan bersahaja bersama komedi klise dan slapstik, tetapi kekuatan filem ini ialah kerana ia berjaya menyuntik elemen hiburan yang tinggi untuk orang ramai bersantai pada musim cuti Aidilfitri. Sekalipun ia cuma komedi ringan tetapi nilai moral dalam filem ini juga menarik untuk dibincangkan. Lebih-lebih lagi kekuatan promosinya yang baik, membuatkan ramai teruja untuk menonton Otai apabila ia ditayangkan menerusi 60 pawagam.Ini berbeza dengan filem animasi tempatan, Budak Lapok arahan Anwardi Jamil. Filem yang menggunakan nostalgia P Ramlee ini bukannya tidak bagus atau tidak menghiburkan tetapi ramai yang masih tidak tahu mengenai kewujudan filem ini kerana promosinya agak lemah, selain tayangannya cuma menerusi 26 pawagam.Mungkin juga kehadiran filem animasi dalam bentuk cereka masih belum dapat menjadi trend terhadap pasaran filem tempatan genre ini. Inilah masalah sama yang dihadapi terhadap dua filem cereka animasi terdahulu iaitu Silat Legenda dan Putih yang terlingkup di pasaran pawagam. Barangkali, filem animasi wajar terlebih dulu dibuat dalam bentuk siri TV supaya ia establish dan popular di hati masyarakat, kemudian barulah boleh dipindah ke layar perak.Pada 25 Oktober ini akan menyusul filem epik sejarah, 1957: Hati Malaya – satu-satunya filem berkaitan sejarah negara yang dihasilkan tahun ini. Sewajarnya filem ini ditayangkan sempena sambutan bulan kemerdekaan lalu, namun ia dianggap masih belum terlambat untuk penonton mencipta mood dan menghayati satu karya yang boleh memberi secubit rasa patriotisme. Menyusul seminggu selepas itu ialah filem komedi romantik, 9 September, buah tangan sulung Pierre Andre.Apapun alasan kita, kita kena sokong filem tempatan. Ketemu lagi minggu depan!

Leave a comment