Prof Razak belum puas hati jumlah kutipan Otai

Prof Razak belum puas hati jumlah kutipan Otai
Oleh Zainuri Misfar

FILEM Otai masih mampu mencatat kutipan kasar lebih RM3 juta selepas 10 hari ditayangkan walaupun diberi liputan kurang meluas oleh media kerana menganggap ia sebagai filem komedi yang tidak ada pembaharuan daripada pengarahnya, Profesor Madya A Razak Mohaideen.

“Hanya dua tiga orang saja yang cakap filem ini tidak ada pembaharuan, slapstick, lawak bodoh. Orang yang cakap ini mungkin tidak tengok filem ini,” kata Razak. “Tapi kalau tengok dalam internet, ramai yang memberi pendapat mengatakan Otai lain dari yang lain. Ia sebuah filem komedi yang segar. Saiful Apek dan Nasha juga menunjukkan gandingan yang baik dalam filem ini,” sambungnya lagi. Filem Otai juga adalah satu kritikan sosial secara halus yang disampaikan secara jenaka mengenai punca lelaki kahwin lebih dari satu, akibat dan tanggungjawab apabila beristeri dua selain peranan orang tua dalam rumah tangga anak mereka. Beliau tetap mempertahankan sebab mengekalkan Saiful Apek dalam filem arahannya.“Lakonannya mungkin nampak sama tetapi wataknya tetap berbeza,” tegasnya.

Sambil wujud persefahaman yang baik, Profesor A Razak juga menganggap pelakon dan pelawak itu seorang yang serba boleh. “Walaupun filem komedi, lakonan Saiful berbeza antara satu sama lain. Dalam Otai, dia cakap bahasa moden, tetapi dalam filem Nana Tanjung 2 yang akan ditayangkan tidak lama lagi, Saiful Apek cakap loghat utara, yang tidak pernah dibuat sebelum ini,” katanya lagi.Menurutnya, filem Otai juga menggunakan konsep yang belum dibuat oleh mana-mana pembikin filem iaitu membawa konsep televisyen ke layar perak tetapi pendekatan itu tidak disedari oleh sesiapa pun.

Selain itu, beliau juga terkilan kerana masih dianggap pengarah filem komedi kerana sepanjang mengarah 26 filem, pelbagai genre sudah dihasilkan seperti aksi, drama, seram dan fantasi.“Cuma secara kebetulan saya memang banyak buat filem komedi. Sebenarnya saya sudah buat macam-macam jenis filem. Saya merintis kepada pembikinan filem seram iaitu Mistik selepas 30 tahun kita tidak buat filem seperti itu. Selepas Mistik baru ada Pontianak (Pontianak Harum Sundal Malam),” jelasnya.
Mengulas kutipan RM3 juta yang dibuat oleh filem Otai, Profesor Razak berkata selain soal kutipan beliau juga mengutamakan jumlah penonton yang datang ke pawagam kerana ia sebenarnya menggambarkan mengenai keseluruhan industri filem tanah air. “Selalunya dua filem tempatan ditayangkan serentak pada musim raya. Saya tidak kata filem ini tidak ada saingan. Kita masih bersaing dengan filem dari Hollywood.“Filem Otai dapat kutipan RM3 juta dalam masa 10 hari dan ditonton 360,000 orang. Bagi saya angka antara 350,000 hingga 400,000 penonton untuk satu filem ialah jumlah sangat kecil sebab kita ada kira-kira 25 juta penduduk. “Saya sasarkan sekurang-kurangnya satu juta penonton menonton satu filem filem tempatan kerana dari angka itu barulah kita boleh anggap aktiviti perfileman sebagai satu industri,” katanya. Sebagai pensyarah perfileman dan pengarah, Profesor Razak berkata, beliau sering membuat kajian mengenai tabiat dan ciri penonton filem tempatan. “Saya menganalisis profil penonton. Siapa penonton ke pawagam, yang sanggup keluar duit tengok filem kita. Hampir 95 peratus (penonton) remaja. Filem komedi genre yang sesuai untuk kanak-kanak dan keluarga, jadi ibu bapa menonton sekali. “Ini menjadi ruang untuk menonton lebih ramai lagi. Macam Otai, tiket pada tayangan minggu pertama habis, ramai yang kecewa. Saya juga kecewa kerana tidak banyak panggung boleh menayangkan filem ini,” katanya. Berdasarkan kajiannya, beliau berpendapat kejayaan sesebuah filem tempatan dengan mendapat sambutan menggalakkan akan memberi keyakinan kepada pihak pemamer membuka lebih banyak pawagam.

“Kalau filem tidak berjaya menarik khalayak, pemilik pawagam kerugian. Setiap hari minimum mereka memerlukan 30 hingga 35 penonton untuk satu panggung bagi menampung kos operasi,” katanya. Profesor Razak berkata, kerugian yang ditanggung oleh pihak pemamer menyebabkan mereka mengurangkan atau menutup terus pawagam dan jika ia berlaku sudah pasti merugikan pula kepada penonton serta penggiat perfileman. “Industri filem ini bergerak mengikut kitaran. Saya bukan emosional tetapi melihat ini sebagai isu yang serius. Saya tak boleh melatah. Betul (buat) filem memang kena buat duit, kalau bukan buat duit, bukan perniagaan. Kita kena faham kalau filem tidak menguntungkan, tidak akan ada lagi filem dibuat. Apabila filem kita memberi keuntungan ia dapat menjamin pendapatan karyawan filem dan juga mengukuhkan industri ini. “Kalau industri filem kita sudah kukuh, saya yakin ramai pengarah dan produser mampu membuat filem lebih baik. Di Hollywood, mereka boleh buat macam-macam genre filem sebab industri mereka kukuh, sebab mereka ada penonton,” tegasnya.Tambah beliau lagi, menghasilkan filem biarlah memberi keuntungan kerana ia memberi semangat kepada produser dan pengarah terus berkarya selain memberikan modal pusingan untuk menerbitkan filem seterusnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: