Filem Terbaik?

Waris Jari Hantu, Chermin jadi pilihan

Filem Tentang Bulan, Mukhsin dan Sumolah beri saingan sengit kategori Filem Terbaik FFM 20

Waris Jari Hantu (WJH) dan Chermin disebut-sebut menjadi calon pilihan untuk merebut gelaran Filem Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-20 (FFM20) menjelang acara kemuncaknya, malam esok.Pemenang kategori tertinggi itu bakal menerima hadiah wang tunai RM50,000 pada majlis yang bakal berlangsung di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Ini berdasarkan kepada jumlah pencalonan yang diterima dengan semuanya membabitkan kategori utama. Filem WJH menerima pencalonan menerusi 13 kategori, manakala Chermin membabitkan 10 kategori. Satu lagi filem yang menerima pencalonan 10 kategori ialah The Red Kebaya, tetapi tidak layak untuk meraih gelaran Filem Terbaik kerana mengabaikan bahasa kebangsaan apabila ia menggunakan hampir sepenuhnya bahasa Inggeris. Penganjur FFM20 sudah menetapkan syarat Filem Terbaik FFM20 harus mencerminkan pengisian dalam bahasa kebangsaan iaitu mesti menggunakan bahasa Malaysia sekurang-kurangnya 80 peratus untuk dialog pelakonnya. Ia adalah satu langkah wajar untuk menjadikan filem Malaysia lebih berimejkan Malaysia termasuk mendaulatkan bahasa kebangsaan menerusi seni filem.

WJH dan Chermin masing-masing menerima pencalonan untuk kategori Pengarah Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Penyunting Terbaik, Skor Muzik Terbaik dan Penataan Muzik Terbaik. WJH juga menerima pencalonan kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Lagu Tema Terbaik dan Busana Terbaik. Kategori lain yang diterima Chermin adalah Sinematografi Terbaik. Berdasarkan analisa terhadap keputusan festival filem yang lalu, kemenangan bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik atau Pelakon Wanita Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Penyunting Terbaik dan Skor Muzik Terbaik akan memberikan peluang cerah untuk filem terbabit memenangi Filem Terbaik.Berdasarkan keputusan FFM19, kemenangan Filem Terbaik juga tidak ditentukan kejayaan menerusi filem yang memenangi kategori Pengarah Terbaik. Ini terbukti apabila Shuhaimi Baba yang diangkat sebagai Pengarah Terbaik menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam 2, tetapi kemenangan Filem Terbaik diberi kepada Gubra arahan Yasmin Ahmad.Bagaimanapun, ini tidaklah bermakna ia menafikan peluang filem lain seperti Jangan Pandang Belakang, Tentang Bulan, Sumolah, Cinta dan Mukhsin yang masing-masing ada potensi untuk meraih hadiah Filem Terbaik. Siapa sangka, Filem Terbaik juga boleh dimenangi filem superhero pertama Malaysia, Cicak-Man.

Kategori Pengarah Terbaik yang menyediakan wang tunai RM25,000 boleh dianggap melihat persaingan tiga penjuru iaitu antara Suhaimi Baba (WJH), Zarina Abdullah (Chermin) dan Afdlin Shauki (Sumolah). Namun, Shuhaimi mungkin sukar untuk mengekalkan kejuaraannya. Zarina boleh membuat kejutan untuk memenangi kategori ini. Afdlin pula semakin kreatif dengan idea baru lebih segar menerusi Sumolah. Bagaimanapun, peluang Yasmin atas tiket kerjanya menerusi Mukhsin tetap ada kerana filem itu tidaklah menghampakan. Cuma, gaya pengarahan Yasmin sudah dianggap longgar dan stereotaip kerana beliau lebih banyak mengulangi corak persembahan yang sama seperti filemnya terdahulu.Jangan pula memandang ringan kemampuan Ahmad Idham sekalipun dia hanya dicalonkan menerusi filem yang berkisar kepada kisah budak-budak iaitu Tentang Bulan. Ahmad Idham pernah memenangi anugerah Pengarah Harapan menerusi filem Mr Cinderella pada FFM terdahulu.

Sementara itu, Rusdi Ramli yang dicalonkan menerusi filem WJH juga disebut-sebut memenangi Pelakon Lelaki Terbaik. Penghayatan dan kesungguhannya melakonkan watak lelaki menukar identiti dirinya menjadi perempuan sejati memberikan impak besar besar kepada penonton. Meskipun ada pihak tidak senang dengan imej watak sedemikian tetapi dari segi lakonan, Rusdi berjaya.Rosyam Nor yang membintangi filem Syaitan menjadi pencabar terdekat Rusdi. Lakonan Afdlin Shauki dalam Sumolah memang baik tetapi karektornya yang terlalu bersahaja sama saja dalam atau di luar filem, malah begitulah juga penampilannya dalam semua filemnya sebelum ini – lakonan klise! Ini menyebabkan lakonannya kurang menonjol.

Bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik, walaupun tumpuan terarah kepada pemenang tahun lalu, Sharifah Amani yang dicalonkan menerusi filem Cinta, beliau tetap mendapat saingan mencabar daripada calon lain. Namun, lakonan Sharifah Amani kali ini tidaklah begitu menyerlah seperti penampilannya dalam Gubra. Natasha Hudson mungkin agak baru dalam dunia perfileman tetapi tidak bermakna tiada peluang memenangi kategori ini. Lakonannya dalam Chermin tidak menghampakan dan berpotensi besar untuk menang.Peluang Nasha Aziz yang dicalonkan menerusi Puaka Tebing Biru untuk membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik bagi kali kedua, agak sukar. Nasha pernah menang kategori ini ketika FFM17 pada 2004 menerusi filem Trauma.

2 Comments

  1. xsyd said,

    August 4, 2007 at 6:57 pm

    jangan lupe..malam nie kul 9..(^_^)

  2. xsyd said,

    August 4, 2007 at 7:43 pm

    9.40pm>>Zarina Abdullah menang bagi kategori Pengarah Harapan untuk filem Chermin dan filem Jangan Pandang Belakang ,menang untuk filem box-office.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: