Prof Razak belum puas hati jumlah kutipan Otai

Prof Razak belum puas hati jumlah kutipan Otai
Oleh Zainuri Misfar
 

FILEM Otai masih mampu mencatat kutipan kasar lebih RM3 juta selepas 10 hari ditayangkan walaupun diberi liputan kurang meluas oleh media kerana menganggap ia sebagai filem komedi yang tidak ada pembaharuan daripada pengarahnya, Profesor Madya A Razak Mohaideen.

“Hanya dua tiga orang saja yang cakap filem ini tidak ada pembaharuan, slapstick, lawak bodoh. Orang yang cakap ini mungkin tidak tengok filem ini,” kata Razak. “Tapi kalau tengok dalam internet, ramai yang memberi pendapat mengatakan Otai lain dari yang lain. Ia sebuah filem komedi yang segar. Saiful Apek dan Nasha juga menunjukkan gandingan yang baik dalam filem ini,” sambungnya lagi. Filem Otai juga adalah satu kritikan sosial secara halus yang disampaikan secara jenaka mengenai punca lelaki kahwin lebih dari satu, akibat dan tanggungjawab apabila beristeri dua selain peranan orang tua dalam rumah tangga anak mereka. Beliau tetap mempertahankan sebab mengekalkan Saiful Apek dalam filem arahannya.“Lakonannya mungkin nampak sama tetapi wataknya tetap berbeza,” tegasnya.

Sambil wujud persefahaman yang baik, Profesor A Razak juga menganggap pelakon dan pelawak itu seorang yang serba boleh. “Walaupun filem komedi, lakonan Saiful berbeza antara satu sama lain. Dalam Otai, dia cakap bahasa moden, tetapi dalam filem Nana Tanjung 2 yang akan ditayangkan tidak lama lagi, Saiful Apek cakap loghat utara, yang tidak pernah dibuat sebelum ini,” katanya lagi.Menurutnya, filem Otai juga menggunakan konsep yang belum dibuat oleh mana-mana pembikin filem iaitu membawa konsep televisyen ke layar perak tetapi pendekatan itu tidak disedari oleh sesiapa pun.

Selain itu, beliau juga terkilan kerana masih dianggap pengarah filem komedi kerana sepanjang mengarah 26 filem, pelbagai genre sudah dihasilkan seperti aksi, drama, seram dan fantasi.“Cuma secara kebetulan saya memang banyak buat filem komedi. Sebenarnya saya sudah buat macam-macam jenis filem. Saya merintis kepada pembikinan filem seram iaitu Mistik selepas 30 tahun kita tidak buat filem seperti itu. Selepas Mistik baru ada Pontianak (Pontianak Harum Sundal Malam),” jelasnya.
Mengulas kutipan RM3 juta yang dibuat oleh filem Otai, Profesor Razak berkata selain soal kutipan beliau juga mengutamakan jumlah penonton yang datang ke pawagam kerana ia sebenarnya menggambarkan mengenai keseluruhan industri filem tanah air. “Selalunya dua filem tempatan ditayangkan serentak pada musim raya. Saya tidak kata filem ini tidak ada saingan. Kita masih bersaing dengan filem dari Hollywood.“Filem Otai dapat kutipan RM3 juta dalam masa 10 hari dan ditonton 360,000 orang. Bagi saya angka antara 350,000 hingga 400,000 penonton untuk satu filem ialah jumlah sangat kecil sebab kita ada kira-kira 25 juta penduduk. “Saya sasarkan sekurang-kurangnya satu juta penonton menonton satu filem filem tempatan kerana dari angka itu barulah kita boleh anggap aktiviti perfileman sebagai satu industri,” katanya. Sebagai pensyarah perfileman dan pengarah, Profesor Razak berkata, beliau sering membuat kajian mengenai tabiat dan ciri penonton filem tempatan. “Saya menganalisis profil penonton. Siapa penonton ke pawagam, yang sanggup keluar duit tengok filem kita. Hampir 95 peratus (penonton) remaja. Filem komedi genre yang sesuai untuk kanak-kanak dan keluarga, jadi ibu bapa menonton sekali. “Ini menjadi ruang untuk menonton lebih ramai lagi. Macam Otai, tiket pada tayangan minggu pertama habis, ramai yang kecewa. Saya juga kecewa kerana tidak banyak panggung boleh menayangkan filem ini,” katanya. Berdasarkan kajiannya, beliau berpendapat kejayaan sesebuah filem tempatan dengan mendapat sambutan menggalakkan akan memberi keyakinan kepada pihak pemamer membuka lebih banyak pawagam.

“Kalau filem tidak berjaya menarik khalayak, pemilik pawagam kerugian. Setiap hari minimum mereka memerlukan 30 hingga 35 penonton untuk satu panggung bagi menampung kos operasi,” katanya. Profesor Razak berkata, kerugian yang ditanggung oleh pihak pemamer menyebabkan mereka mengurangkan atau menutup terus pawagam dan jika ia berlaku sudah pasti merugikan pula kepada penonton serta penggiat perfileman. “Industri filem ini bergerak mengikut kitaran. Saya bukan emosional tetapi melihat ini sebagai isu yang serius. Saya tak boleh melatah. Betul (buat) filem memang kena buat duit, kalau bukan buat duit, bukan perniagaan. Kita kena faham kalau filem tidak menguntungkan, tidak akan ada lagi filem dibuat. Apabila filem kita memberi keuntungan ia dapat menjamin pendapatan karyawan filem dan juga mengukuhkan industri ini. “Kalau industri filem kita sudah kukuh, saya yakin ramai pengarah dan produser mampu membuat filem lebih baik. Di Hollywood, mereka boleh buat macam-macam genre filem sebab industri mereka kukuh, sebab mereka ada penonton,” tegasnya.Tambah beliau lagi, menghasilkan filem biarlah memberi keuntungan kerana ia memberi semangat kepada produser dan pengarah terus berkarya selain memberikan modal pusingan untuk menerbitkan filem seterusnya.

Ramai Penonton Suka Tengok OTAI

Celoteh: Ramai penonton suka tengok Otai
Bintang Popular 21Okt2007
Oleh Akmal Abdullah

Otai

Siapa sangka filem raya, Otai yang tengah rancak ditayangkan kini sudah cecah kutipan kasar lebih RM1.5 juta dalam tempoh seminggu menemui penonton sejak hari raya pertama pada Sabtu minggu lalu. Ramai yang tidak menduga filem komedi yang masih menggunakan Saiful Apek sebagai taruhan utama tetap mampu boleh memikat ramai penonton. Meskipun ramai sudah tahu dengan gaya, keletah dan cara lawak bodoh Apek tetapi penonton masih dapat menerima filem lakonannya. Semuanya juga kerana sentuhan Prof Madya Razak Mohaideen yang masih menyengat dari segi filem untuk ‘buat duit’. Razak masih mampu membawa suasana segar filem komedi yang boleh mengajak orang ramai berpusu-pusu ke pawagam pada musim cuti perayaan.

Apa yang membanggakan, inilah filem Melayu pertama yang meraih kutipan hebat dalam tempoh tiga hari tayangan, ia sudah mampu memungut RM1 juta. Ini sesuatu yang sudah lama tidak dirasai oleh filem tempatan. Tidak mustahil selesai tayangannya kelak, filem ini mampu meraih kutipan lebih RM3 juta.Otai adalah judul yang cathchy dan senang disebut. Filem ini juga selain ceritanya ringan dan bersahaja bersama komedi klise dan slapstik, tetapi kekuatan filem ini ialah kerana ia berjaya menyuntik elemen hiburan yang tinggi untuk orang ramai bersantai pada musim cuti Aidilfitri. Sekalipun ia cuma komedi ringan tetapi nilai moral dalam filem ini juga menarik untuk dibincangkan. Lebih-lebih lagi kekuatan promosinya yang baik, membuatkan ramai teruja untuk menonton Otai apabila ia ditayangkan menerusi 60 pawagam.Ini berbeza dengan filem animasi tempatan, Budak Lapok arahan Anwardi Jamil. Filem yang menggunakan nostalgia P Ramlee ini bukannya tidak bagus atau tidak menghiburkan tetapi ramai yang masih tidak tahu mengenai kewujudan filem ini kerana promosinya agak lemah, selain tayangannya cuma menerusi 26 pawagam.Mungkin juga kehadiran filem animasi dalam bentuk cereka masih belum dapat menjadi trend terhadap pasaran filem tempatan genre ini. Inilah masalah sama yang dihadapi terhadap dua filem cereka animasi terdahulu iaitu Silat Legenda dan Putih yang terlingkup di pasaran pawagam. Barangkali, filem animasi wajar terlebih dulu dibuat dalam bentuk siri TV supaya ia establish dan popular di hati masyarakat, kemudian barulah boleh dipindah ke layar perak.Pada 25 Oktober ini akan menyusul filem epik sejarah, 1957: Hati Malaya – satu-satunya filem berkaitan sejarah negara yang dihasilkan tahun ini. Sewajarnya filem ini ditayangkan sempena sambutan bulan kemerdekaan lalu, namun ia dianggap masih belum terlambat untuk penonton mencipta mood dan menghayati satu karya yang boleh memberi secubit rasa patriotisme. Menyusul seminggu selepas itu ialah filem komedi romantik, 9 September, buah tangan sulung Pierre Andre.Apapun alasan kita, kita kena sokong filem tempatan. Ketemu lagi minggu depan!

Otai Pecah Rekod

Otai Pecah Rekod
Harian Metro 22/10/2007

Selepas seminggu beraya, hari ini saya kembali bertugas. Pastinya mood raya masih ada, kalau puasa sebulan, raya juga sebulan.Tambahan pula selepas ini ramai yang akan mengadakan rumah terbuka.Selain dihidangkan program menarik di televisyen, panggung pula menyajikan dua filem Melayu, Otai dan Budak Lapok yang ditetapkan untuk tayangan musim raya tahun ini.

Pada raya keempat, satu khidmat pesanan ringkas (SMS) diterima daripada Pengurus Besar Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB), Ahmad Puad Onah memaklumkan kutipan Otai yang diterbitkan GBSB dengan kerjasama LineClear Motion Pictures mencatat RM1 juta dalam masa tiga hari. Ia dikatakan satu rekod baru filem Melayu musim raya. Kalau dilihat filem yang ditayangkan raya tahun lalu, Bilut dan Diva Popular, memanglah kutipan dicatat Otai satu rekod membanggakan kerana Diva Popular hanya mencatat jumlah kutipan lebih RM1 juta tetapi Otai RM1 juta dalam masa tiga hari manakala kutipan Bilut lebih rendah daripada itu.Jumaat lalu, sekali lagi satu SMS dihantar lagi mengatakan Otai terus catat rekod baru tayangan musim raya dengan kutipan RM2 juta dalam masa enam hari.Kutipan terbaru dalam masa sembilan hari pula akan diketahui hari ini.

Tapi saya tidak pasti apakah terus mencatat rekod kerana ada mengatakan Otai tiada beza dengan garapan filem komedi Razak sebelum ini terutama Bujang Senang dan Nana Tanjung, cuma tajuknya saja berbeza. Ada mengakui rela keluar panggung sebelum filem tamat kerana lawaknya tidak mencuit hati malah lawak bodoh manakala ceritanya hampir sama.Majoriti penontonnya kanak-kanak terutama mereka yang meminati Saiful Apek. Malah filem-filem Apek serta diarahkan Razak sebelum ini terbukti mendapat sambutan. Contohnya Jutawan Fakir, Bujang Senang dan Nana Tanjung.

Bagi filem animasi Budak Lapok yang diterbitkan Matahari Animation & Production serta arahan Anwardi Jamil pula kutipannya tidak banyak, tidak pun sampai RM200,000 dalam masa enam hari. Bagaimanapun reaksi penonton dikatakan agak positif kerana memuji jalan ceritanya bagus dan ia filem yang menghiburkan. Cuma ramai yang salah anggap Budak Lapok cerita kartun biasa sesuai untuk kanak-kanak.Filem ini dikatakan mampu mengimbau nostalgia kepada seniman agung, Tan Sri P Ramlee masa kecil serta rakan seangkatan, Datuk Aziz Sattar dan S Shamsuddin pada era 50-an dan 60-an.Filem edaran MIG Productions Sdn Bhd ditayangkan di 26 panggung berbanding Otai 56 panggung.

Pada mulanya Budak Lapok hanya mempunyai 18 salinan tetapi ditambah pada saat akhir kerana pengedar nampak filem ini ada potensi.Selepas ini, penonton dapat menyaksikan buah tangan sulung pengarah muda, Pierre Andre menerusi filem terbitan MIG Productions, 9 September pada 1 November.Pierre bukan saja menjadi pengarah, skripnya juga oleh Pierre sekali gus pelakon utamanya bersama Fasha Sandha.Mengikut kebiasaan, satu filem ditayangkan dalam tempoh seminggu sepanjang musim cuti sekolah pada November dan Disember tetapi ada masalah apabila banyak filem tidak dapat disiapkan mengikut perancangan. Selepas 9 September, giliran Orang Minyak pada 15 November diikuti satu lagi komedi Razak, Nana Tanjung 2 (29 November) dan Anak Halal (13 Disember) tetapi belum ada filem yang akan mengisi kekosongan pada 27 Disember.Filem 1957: Hati Malaya arahan Shuhaimi Baba yang diterbitkan khusus sempena menyambut kemerdekaan ke-50, ditetapkan untuk tayangan Khamis ini (25 Oktober). Ia tidak mengikut tarikh ditetapkan syarat wajib tayang.Pada awalnya penerbit mahu tayangkan filem ini pada 31 Ogos tetapi tidak dapat disiapkan dan meminta tayangan 10 Oktober.Memandangkan Otai dan Budak Lapok ditayangkan untuk 13 Oktober, filem 1957: Hati Malaya diberikan tarikh 18 Oktober.

Satu lagi yang hebat diperkatakan sekarang, pementasan P Ramlee The Musical di Istana Budaya, sejak Khamis lalu. Teater yang turut menyaksikan Datuk Siti Nurhaliza sebagai pelakon ini memaparkan kehidupan P Ramlee dari kecil, kemudian bercinta dan berkahwin dengan Junaidah, Norizan dan Puan Sri Saloma.Siti memegang watak Azizah, P Ramlee (Sean Ghazi), Junaidah (Atilia), Norizan (Melissa Saila) dan Saloma (Liza Hanim). Difahamkan, kalau mahu mengukur kemampuan Siti sebagai pelakon, teater bukan kayu pengukurnya kerana belum mampu mencungkil bakal sebenar Siti dengan kehadirannya masih sebagai penyanyi.Lakonan Liza Hanim dan Atilia mendapat pujian manakala yang lain sudah diketahui kemampuan mereka kerana memang orang teater.

Trailer Filem Otai Lakonan Nasha Aziz & Aznil Nawawi

Komedi bak terapi

Nasha Aziz perjelas sebab bintangi filem Otai
Berita Harian 18/09/07

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Ada alasan tersendiri mengapa aktres Nasha Aziz mengambil keputusan berlakon dalam filem komedi arahan Prof Madya A Razak Mohaideen, Otai, yang bakal menemui peminat di pawagam pada Hari Lebaran nanti.Memegang watak Azura, isteri pertama kepada Aiman lakonan Saiful Apek, Otai mengetengahkan tema poligami dan bagaimana dua isteri tinggal sebumbung bersama suami yang dikongsi. Selain Nasha dan Apek, judul yang diterbitkan Lineclear Motion Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama Grand Brilliance ini turut membariskan Yassin, Faeza, Ainul Aishah, Izreen, Maimon Mutalib, Farah Alya, Soffia Shamimi, Aznil Nawawi, Salih Yaacob dan Azean Irdawaty.

Menurut wanita cantik yang turut bergelar model terkenal ini, selepas terbabit dengan beberapa filem yang dianggap serius seperti Puaka Tebing Biru dan Trauma, dia ingin menjadikan 2007 sebagai detik untuknya kembali sebagai manusia normal.”Hidup sebagai seorang pelakon banyak membabitkan emosi dan kreativiti. Tidak lama dulu, kerana hendak menghayati watak Ratna dalam filem Puaka Tebing Biru, saya sendiri perlu menjadi insan yang serius. Ramai orang yang melihat saya asyik dalam keadaan murung ketika itu kerana saya terbawa-bawa watak berkenaan ke dalam kehidupan harian. Sebagai pelakon, saya perlu fokus.”Jadi kini saya perlukan rehat daripada watak sedemikian. Bagi 2007 dan 2008, untuk mengimbangi perwatakan dan kehidupan, saya memilih untuk berlakon dalam filem bercorak komedi atau memegang watak yang bukan serius. Berlakon komedi saya ibaratkan seperti terapi untuk kita berasa lebih tenang dan berasa seronok,” katanya selepas pratonton filem itu di Cathay Cineleisure Damansara, baru-baru ini.

Nyata sekali, aktres tinggi lampai ini girang sepanjang majlis berkenaan dan betah menjawab segala persoalan yang diajukan. Dia sendiri berkata kerana wataknya yang tidak murung itulah maka kini dia mampu untuk tampil lebih ceria.”Jika asyik murung, kesannya tidak bagus pada kehidupan. Sebagai pelakon pula, saya mempunyai kebebasan untuk membuat pilihan bagi menyeimbangkan hidup saya,” katanya.Selepas Otai, Nasha tampil pula dengan watak seorang wanita yang sering menimbulkan kekecohan, menerusi filem Sepi arahan Kabir Bhatia. Pengarah itu sebelum ini cemerlang dengan filem Cinta, yang diumum Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-20 di Pulau Pinang.”Sebenarnya, Kabir menawarkan saya watak yang serius. Tetapi, saya memberitahunya, saya lebih suka jika diberikan watak yang menyeronokkan untuk ditonton dan saya sendiri seronok menjayakannya,” ujar Nasha yang menepis tanggapan dia sudah bosan dengan watak berat.

Sementara itu, ketika ditanya pandangannya terhadap isu poligami, berikutan filem lakonannya itu sendiri mengutarakan tema sedemikian, Nasha dengan sopan menolak untuk memberikan ulasan panjang berhubung topik berkenaan.”Maaf, saya tidak boleh mengulas panjang perkara ini kerana poligami itu sendiri sebahagian daripada sejarah Rasul. Wujud alasan mengapa poligami dibenarkan. Agama kita pada asasnya menggalakkan umatnya saling bantu membantu. Ada wanita yang memerlukan pertolongan. Daripada terbiar tanpa pembelaan, baiklah mereka dibantu menerusi perkahwinan.
“Sebagai manusia pada era moden ini pula, seharusnya kita perlu berfikiran waras apabila berbahas mengenai keperluan berkahwin lagi. Biarlah alasannya munasabah seperti mendapatkan zuriat, sebelum seseorang berpoligami,” kata Nasha yang berasakan, pemilihan filem berkenaan untuk tayangan hari raya amat bertepatan kerana ia membolehkan penonton merehatkan minda dan fizikal, sambil berhibur bersama ceritanya.

Otai, katanya, sebuah filem yang realistik, memaparkan isu cukup dekat dengan masyarakat. Bagaimanapun, pelakonnya menjadikan filem itu kelakar dan sesuatu yang menyenangkan perasaan.”Kami pelakon menambah perasa tersendiri ke dalamnya. Dengan imej dan sikap masing-masing, filem itu kelihatan lebih comel,” katanya.Kata Nasha, pengarah mahukan penonton berasa relaks apabila menonton filem jenaka itu biarpun isu yang dibentangkan benar-benar wujud dalam masyarakat.

p/s:-Budiey>>Ulasan Filem Otai: Hiburan Santai di Aidilfitri

Sinopsis OTAI

Sinopsis

Aiman yang sudah punyai isteri, Azura dan sudah 3 tahun mendirikan rumah tangga tetapi gagal untuk mendapatkan zuriat. Aiman dan Azura mendapat tekanan dari ayah Aiman, Tan Sri Mansur, jika mereka tidak mendapatkan zuriat menjelang akhir tahun, seluruh harta milik Tan Sri Mansur akan diberi kepada anak yatim. Azura membuat pemeriksaan dengan doktor, hasil pemeriksaan tersebut mendapati bahawa Azura mempunyai masalah peranakan. Azura telah membuat keputusan bahawa Azura membenarkan Aiman menikah seorang lagi atas tujuan untuk mendapatkan anak disertai dengan 17 syarat. Aiman meminta pertolongan dari kawan karibnya, Sammy untuk mencari calon untuk menjadi isteri yang kedua. Bagaimanapun semua calon ditolak oleh Azura dengan alasan terlalu cantik. Aiman kemudiannya meminta Sammy mencari Mawar, gadis yang diminatinya sebelum kahwin untuk menjadi isteri kedua. Sammy mengubah imej Mawar untuk meminta persetujuan dari Azura. Apabila Azura setuju, majlis akad nikah pun dijalankan. Semasa majlis akad nikah, kecantikkan Mawar terserlah dan Azura telah jatuh pengsan. Doktor mendapati bahawa Azura telah hamil. Kedatangan ibu Azura memburukkan lagi keadaan. Keadaan ini menimbukan pelbagai salah faham dan tekanan dalam keluarga Aiman. Aiman meminta pertolongan Sammy untuk mencari seorang lagi calon untuk menjadikan isterinya. Muslihat itu diketahui oleh Mawar dan Azura dan mereka menyesali atas kelakuan mereka sebelum ini dan berjanji akan berbaik dan menjaga Aiman.

 

pics credit to sinemamalaysia.com

Otai Promosi di IPTA

Otai promosi di IPTA

GRAND Brilliance Sdn. Bhd., (GBSB) telah melakukan pelbagai strategi bagi memastikan filem terbaru terbitannya berjudul Otai mendapat sambutan para penonton.Pengurus Besar GBSB, Ahmad Puad Onah berkata, antara strategi promosi yang telah dijalankan ialah dengan mengadakan tayangan awal filem itu di institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang terdapat di negara ini.“Pada 4 September lepas, kami telah mengadakan tayangan awal Otai di Dewan Budiman, UiTM (Universiti Teknologi Mara) di Shah Alam dan ia telah ditonton oleh 1,200 penonton.“Sambutan di luar dugaan itu suatu petanda baik untuk filem ini sebelum ia ditayangkan kepada umum mulai 13 Oktober ini,” katanya ketika ditemui selepas pratonton Otai di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Ahmad Puad, IPTA dipilih sebagai salah satu rangka promosi itu kerana beliau menyasarkan penonton yang paling ramai menonton filem merupakan golongan pelajar.Apatah lagi katanya, para pelajar terutamanya yang menuntut di IPTA terdiri daripada pelajar yang datang dari merata-rata tempat.“Kami harap para pelajar yang telah menonton Otai akan menghebahkannya daripada mulut ke mulut tentang filem ini.“Apabila mereka pulang bercuti di kampung halaman masing-masing mereka akan mempromosikan filem ini secara tidak langsung.“Kebetulan pula Otai akan ditayangkan ketika musim cuti perayaan Hari Raya Aidil Fitri tahun ini di mana filem ini sesuai untuk ditonton oleh segenap lapisan masyarakat,” ujarnya lagi.

Otai yang diarahkan oleh Prof. Madya A. Razak Mohaideen menelan kos produksi dan promosi berjumlah RM1.5 juta.Filem genre situasi komedi itu antaranya dibintangi Saiful Apek, Nasha Aziz, Azean Irdawaty, Yassin Yahya, Salih Yaccob dan Faeza.Otai mengisahkan tentang Aiman (lakonan Saiful Apek) yang sudah berkahwin selama tiga tahun tetapi masih belum dikurniakan cahayamata.Aiman dan isterinya, Azura (Nasha Aziz) mendapat tekanan daripada bapa Aiman, Tan Sri Mansur (Salih Yaccob) yang teringin menimang cucu.Bagi menyelesaikan masalah itu, Aiman dibenarkan berkahwin tetapi dia dikenakan 17 syarat.

p/s: Berita Harian Online 12/09/2007..

NASHA AZIZ Cover Magazine HAI 8-14 Sept